Pages

Saturday, January 29, 2011

Entri main-main. percubaan

Kisah.Ini.Tentang.Aku
                Izham memetik suis kipas siling, tubuhnya dihempas di atas sofa menghadap siling. Matanya bergerak-gerak berpusing mengikut putaran kipas. Pening. Pantas dia mengalihkan pandangan ke arah televisyen yang sedang terpasang. Cerita apa yang sedang ditayangkan, dia tidak ambil pusing. Dalam fikirannya, penuh bercelaru. Serabut. Serabai. Apa lagi kalimah yang mampu menggambarkan keadaan tidak tentu arahnya sekarang.
Sekali lagi keluhan dilepaskan, baju –T dibuang daripada tubuhnya. Panas tubuhnya setelah menolak motor sejauh 5 kilometer. Motornya pancit di tengah jalan tadi. Mahu tidak mahu, dia terpaksa menolak ke bengkel Ah Seng. Memang malang betul.
Bau minyak wangi yang bercampur dengan peluh sudah menghasilkan satu bau yang paling terbaik. Suasana rumah sunyi sepi. Rasyid, Kashah, dan Anas sudah keluar. Dating la. Aktiviti biasa sewaktu hujung minggu. Dia pun baru sahaja pulang berjumpa dengan kekasih hatinya. Tapi masih layakkan digelar kekasih hati selepas apa yang berlaku. Satu lagi keluhan dilepaskan.
                “Mas kena kahwin akhir tahun ni.” Ayat pertama yang keluar dari mulut wanita tersebut setelah membisu sejak mereka berjumpa tadi.
“Sekarang pun boleh. Tapi Mas jangan letak tinggi la. Abang tak ada duit lagi. Kerja pun dispatch je ni.” Izham tertawa kecil.
                Mas merenung tajam, sambil menggeleng beberapa kali. Air matanya sudah mula merembes keluar turun mengalir di pipinya.
“Mas?” Izham merenung Mas. Tawanya tadi terhenti. “Sorry, abang bergurau je tadi.” Izham jadi kaget. Tangannya pantas menarik tisu di tepinya, dihulur kepada Mas. “Abang minta maaf. Abang bergurau je tadi.” Runtun hatinya melihat wanita yang dicintainya mengalirkan air mata.
Mas menggelengkan kepalanya sambil tangannya mengelap pipi dan matanya.
“Abang minta maaf.” Izham masih tidak putus-putus memohon maaf.
“Tak, abang tak salah. Mas yang salah. Mas..” Dia berhenti seketika. Matanya merenung wajah lelaki dihadapannya. Lelaki yang dicintainya sepenuh hati. “Mas minta maaf. Mas kena dengar cakap ayah. Ayah suruh mas kawin. Mas tak mau. Mas dah bagitahu, Mas ada abang tapi ayah paksa Mas juga. Mas tak tahu nak cakap apa kat ayah.” Tangisan Mas makin kuat.
                Izham terkedu. Gelas teh tarik yang baru hendak mencecah bibirnya sebentar tadi, diletakkan kembali. Suasana sekeliling seakan berputar-putar ketika mendengar bicara dari bibir wanita dihadapannya ini. Wanita yang dikasihinya. Yang telah mengajarnya erti cinta. Yang telah mengajar kepadanya erti kasih sayang. Yang telah mengajarnya erti kejujuran, erti kesetian. Tetapi saat ini, wanita ini yang telah mengkhianatinya. Ya, wanita dihadapannya ini bakal berkahwin. Tetapi bukan dengannya. Wanita ini bakal menjadi hak orang lain.
                Izham menarik nafas panjang. Tubuhnya disandar kekerusi. Tangannya menggosok kepala. Kusut.
                “Cuba Mas bincang elok-elok dengan ayah. Atau kalau Mas nak abang jumpa dengan ayah Mas pun boleh. Abang boleh pergi bincang dengan ayah Mas.”
                Mas menggeleng kepalanya. “Tak ada gunanya abang. Ayah Mas tak akan tukar lagi keputusannya. Ayah tak yakin dengan abang. Abang tak ada kerja tetap lagi. Ayah nak Mas kahwin dengan orang yang kerja kerajaan.”
                Izham meraut mukanya. Satu keluhan kecil dilepaskan. Ya, awal lagi dia sudah membuktikan kepada ayah Mas yang dia tidak mampu mengahwini anak perempuannya. Dia tidak mempunyai kerja yang tetap. Kerjanya sebagai dispatch tidak dapat menjanjikan kemewahan kepada Mas. Yang paling utama, dia tidak bekerja dengan kerajaan
                “Tapi Mas, abang baru je habis belajar. Tak boleh ke ayah Mas bagi abang masa. Abang akan cari kerja tetap. Dispatch ni pun hanya untuk sementara je.”
                “Abang dah setahun habis belajar. Tapi Mas tengok masih tak ada apa-apa kemajuan. Masih kerja yang sama.” Suara Mas kedengaran agak mendatar.
                “Ayah Mas yang tak boleh tunggu ke.. Atau Mas sendiri yang tak boleh tunggu? Terus terang Mas. Mas sendiri kan yang dah bosan dengan abang. Mas dah tak boleh tunggu abang lagi kan? Betulkan Mas?” Ujar Izham sedikit agak mengeluh.
                “Abang tak boleh tuduh Mas macam tu.” Suara Mas tinggi. “Setahun Mas bagi peluang pada abang. Setahun lepas, Mas merayu pada ayah supaya bagi abang peluang. Tapi abang langsung tak hargai peluang yang kami bagi. Abang masih macam ni. Siang kerja dispatch, malam jual burger. Sampai bila abang nak kerja macam ni? Dan sampai bila Mas kena tunggu abang cukup duit untuk hantar rombongan pada Mas?”  Dia mendengus marah lantas menjeling tajam ke arah Izham. Memang lelaki ini tiada masa hadapan.
                Izham menarik nafas panjang. Dia dah tak perlu untuk cakap apa-apa. Keputusan sudah dibuat. Cakap pun tak guna. Hatinya sudah remuk. Bukan cara dia untuk merayu. Dadanya sakit seperti ditusuk belati. Dia menggosok kepalanya berulang kali. Tindakan biasa yang menunjukkan keserabutan yang melanda.
                “Apa yang Mas nak abang buat sekarang?.” Soalnya memandang tepat ke mata wanita dihadapannya. Intonasinya kini perlahan. Dia sudah tidak nampak sinaran cahaya dari mata wanita tersebut. Sinaran cahaya tersebut sudah pudar.
                “Tak ada apa lagi yang perlu dibuat. Semuanya dah berakhir. Antara kita dah tamat.”
                Izham mengeluh perlahan. Segalanya sudah berakhir. Antara dia dan Mas dah berakhir.
                Bunyi deringan dan getaran telefon bimbit mengejutkan Izham. Dia pantas menyeluk poket jeansnya. Geli dengan getaran selagi panggilan tersebut tidak diangkat.
                Mama. Matanya mengerling sekilas ke arah skrin. Dengan rasa malas dia paksa dirinya menjawab juga panggilan tersebut.
                “Along. Abah sakit.” Suara mama bercampur tangisan menerjah gegendang telinganya. Dia melompat bangun dari pembaringan. “Along balik ye.” Tangisan mama kuat kedengaran.
                Dia mengangguk. “Ye. Along balik hari ini jugak.”
               

               
         

Thursday, December 30, 2010

Selamat Datang 2011

Selamat datang 2011.. sebenarnya tahun 2011 yang bakal datang dalam beberapa jam ni adalah tahun yang akan bakal menjadi tahun yang paling mencabar sekali bagi nuha. Sebab banyak perkara yang nuha kena selesaikan dalam tahun ini juga.
So, dinyatakan perkara-perkara yang menjadi priority utama nuha untuk tahun baru ini.

  1. Selesaikan thesis MA
  2. Hasilkan satu novel yang perlu dihantar ke JS
  3. Dua perkara je ke? Ok la tambah satu lagi.. think about marriage.. hahahaha.. yg ni akan berubat mengikut keadaan
Bila dikira-kira sebenarnya dah lama nuha tinggalkan sekolah.. so, bermakna dah tua la.. Tapi i still look younger.. Ni ayat nak sedapkan hati.. kawan-kawan ramai yang dah berkahwin, dan ada juga anak sulung dah masuk sekolah dah. nuha jer yang still belajar dan belajar... so bila nak habis belajar ni??? waaaa... penatnya... pas MA nak sambung PhD pula.. Cadang nak pi luar negara.. tergedik2 kaki nak pi sana..

Harapan nuha, tahun baru ini adalah tahun yang paling bermakna, dan tahun yang merubah kehidupan ini.. memberikan kebahagian dan akan lebih mematangkan nuha seiring dengan pertambahan usia ini..

Harapan : Ya Allah, lancarkan la segala penulisan ku sama ada penulisan thesis dan penulisan novel... Permudahkanlah urusan jodohku. Berikan lah kejayaan kepada ku dan adik-adik ku... berikanlah kebahagian kepada kami adik beradik.. Permudahkanlah urusan ibu bapa kami di sana. berikanlah kejayaan dan kebahagian kepada semua muslim dan muslimat.. Ameen...

Tuesday, December 28, 2010

Kita Bersaudara ~1~


          “Kau mampu ke Ayie? Bagi je job ni pada member kau yang lain. Aku takut kau tak mampu nak berhadapan dengan semua ini. So, prestasi  kerja kau pun akan teruk.” Suara Nadhirah memecah kesunyian bilik guru pagi itu. Keadaan bilik guru agak lengang memandang kebanyakan guru-guru sudah masuk ke dalam kelas masing-masing memudahkan lagi perbincangan mereka.
          Ayie mencapai sebuah buku tulis di atas mejanya. Ditangan sudah tersedia pen merah yang akan digunakannya sewaktu menanda buku tulis tersebut.
          “Dia bayar aku upah.”
          “Jadi kau terima lah job ni? Kau yakin kau boleh buat yang terbaik? Kau boleh asingkan antara kerja dan perasaan kau? Kau yakin kau tabah?” Dah macam peluru berpandu soalan dari Nadhirah.
          Ayie diam sahaja. Fikirannya kosong. Dia tidak berfikir sejauh itu lagi. Tetapi semalam dia cukup teruja apabila Faris menelefonnya mengajak dia keluar. Sepanjang hari senyumannya melebar.
          “Senyum sampai ke telinga hari ni, Cikgu Ayie. Mesti ada date dengan boyfriend ni.” Cikgu Fatin yang terkenal dengan TV3 bergerak itu sudah membuat tembakan yang mengena.
          Namun sebenarnya pada petang itu ada perkara yang lain yang Faris sampaikan. Berita yang membuatkan dunia Ayie menjadi gelap.
          “Aku betul-betul tak faham jantan tu. Dia tu buta ke, sampai tak nampak kau yang selalu ada untuk dia?”tanya Nadhirah lagi.
          “Nak kata dia tak ada hati kat kau, aku tengok pergi mana-mana pun dia ajak kau. Dari sekolah lagi, aku tengok korang berdua rapat sangat. Masing-masing dah faham hati budi masing-masing. Tapi kenapa jadi macam ni?” Nadhirah  menyambung lagi
          “Kami rapat tak bermakna kami bercinta.” Pendek jawapan Ayie.
          “Habistu kau ingat aku tak tahu lah, yang kau tu ada hati pada dia. Tapi sekejap, pernah tak kau luahkan perasaan kau pada dia?”
          Ayie terdiam beberapa ketika sebelum menggelengkan kepalanya perlahan.
          “Ya Allah Ayie. Kau tak pernah bagitahu langsung kat dia?!” Nadhirah menjerit kuat. Beberapa pasang mata menoleh ke arah kami. Terkejut dengan suara speaker masjidnya.
          “10 tahun Ayie.” Dia menggelengkan kepalanya. “10 tahun Ayie.Kau kawan dengan dia kau tak pernah luah perasaan langsung pada dia? Sikit pun tak?”
          Ayie menggelengkan kepala. “Cakap juga tapi tak direct la. Aku perempuan la, malu juga aku kalau buatnya dia reject aku.”
          “Kau duduk zaman batu mana ni . Zaman sekarang perempuan lebih agresif. Sebab kau tak agresif la , kau jadi macam ni. Kena kebas dek orang.” Tegas suara Nadhirah. Mentang-mentanglah dia guru Pandu Puteri. Semangat memanjang dia. Agresif. Agresif. Ayie yang semedang agresif ni, dia kata tak agresif lagi. Nadhirah ni dah lupa kot, manusia mana yang akan berlari di padang sewaktu hari sukan sekolah, kalau tak Ayie. 
        Sambil menggalas Nikon D90, dia yang diberi tanggungjawab dalam sidang redaksi sekolah akan sentiasa bersiap-siaga dalam apa jua keadaan, memetik shutter Nikon mencari adegan-adegan yang menarik untuk dimuatkan ke dalam majalah sekolah
          “Perkara dah berlalu. Dah lama sangat aku suka pada dia. Dah jadi kebiasaan pada aku.”
          “Ayie. Ayie. Nak kata tak cerdik, belajar tinggi lebih dari cucur atap rumah Tok Leha tu. Tapi fikiran hampeh. Aku rasa budak kilang pun lebih cerdik dari kau bab cinta ni.”
          “Weh, ni bab cinta, bab perasaan! Kau ingat senang ke nak berterus terang dengan kawan baik sendiri yang kau ada hati pada dia.” Ayie mengeluh kecil. Persahabatannya dengan Faris bermula sejak di sekolah menengah lagi. Malah dia dan Faris telah mendapat tempat di Universiti Malaya selepas berpisah setahun sewaktu di matrikulasi.
          Melompat Ayie saat  terserempak dengan Faris sekali lagi di Perdana Siswa. Waktu itu, dia sedang beratur di mesin ATM. Bermula daripada saat itu, di mana ada Faris, di situlah ada Ayie. Dah jadi macam kembar siam.
          Keakraban Ayie dengan Faris membuatkan ramai yang menyangka mereka mempunyai hubungan yang istimewa dan Ayie selesa dengan keadaan begitu. Sekurang-kurangnya dia tidak akan menghadapi masalah dilamar ketika belajar dan dapat menumpukan sepenuh perhatiannya pada pelajaran.
          “Kau selalu lepak dengan aku ni, tak ada orang marah ke?” Faris pernah menyoal.
          Ayie menggeleng. “Siapa yang nak marah?”
          “Manala tahu, teman lelaki kau ke.”
          “Kau pula? Girlfriend kau tak marah?”
          “Kau la girlfriend aku. Kau marah tak?” Faris gelak besar.
          “Perasan.” Ayie mencebik.
          “Kau tak terpikat dengan aku ke Ayie?” soal Faris tenang. Dia menarik nafas panjang. “Cinta platonik kau dan aku.”
          Ayie kerut dahi. Apa pasal pula awang ni? Tiba-tiba buat drama pula.
          “Ayie.” Faris memanggil perlahan.
          Ayie mendongak. Dahinya berkerut.
          “Aku suka kawan dengan kau.”
          Ayie tersenyum. “Aku pun.” Hati Ayie dah berbunga-bunga. Macam nak terbang keliling pokok. Ala-ala Hindustan. Siap dah dengar muzik kat telinga dah ni.
          

            

Tuesday, December 14, 2010

Perubahan

Masuk kali ini sudah berapa kali idea aku berubah, berpusing, sekejap keluar, sekejap hilang dah macam chipsmore. Proses menulis ini bukan senang sebenarnya. Teringat kata Saudara Imaen dari JS, menulis seperti proses belajar. Walaupun sudah beratus-ratus halaman kita tulis, dan kemudian setelah itu kita delete kesemuanya, itu tidak akan merugikan kita. kerana kita akan belajar dari proses tersebut. Belajar dari proses padam dan tulis kembali kemuadian padam.


Terasa nak jadi gedikss menulis ini. tetapi perkara baharu dalam hidup ini memang bukan senang. Aku bukan dilahirkan sebagai penulis, aku cuma ingin belajar menjadi seorang penulis. Aku ingin melahirkan karya-karya yang dapat dibaca dan dapat diambil istifadah daripadanya. Karya yang dapat mendidik masyarakat. Tidak perlu kepada karya yang agak berat, hanya karya simple tetapi meninggalkan kesan ke dalam jiwa masyarakat.


Mampukah aku menulis dengan baik?? 

Kaki Pena Opening

Percubaan ku untuk membuka satu blog yang memuatkan hasil pena ku. 
Saya budak baru belajar menulis, percubaan untuk jadi gedikssss...
Berharap supaya setiap hasil pena ini, bermanfaat dan memberikan pendidikan secara langsung ataupun tidak langsung dalam mentarbiah diri ini.