Pages

Saturday, February 26, 2011

Apa sudah jadi?

“ Hello. Kenapa call?” kedengaran suara Izham di hujung talian. Ayie tersentak. Kenapa call? Kasar bunyinya.
            “Assalamualaikum. Amboi kasarnya. Kenapa call?” Ayie pura-pura ketawa. Memujuk hatinya yang tersentap seketika tadi. Izham di hujung talian hanya membisu sepi. Tawa Ayie serta merta mati.
            “Awak sibuk ke?” soal Ayie.
            “Tak.” Pendek jawapan Izham.
            “Oh.” Perlahan suara Ayie membalas. Suasana bersambung sepi. Kalau situasi berpanjangan macam ni, syarikat celcom juga yang makin kaya. Telefon tapi tak cakap. Masing-masing membisu. Ayie menarik nafas panjang. Ini tak boleh jadi.
            “Ok la. Saja telefon tadi. Assalamualaikum.”
            “Waalaikumussalam” Izham membalas dan memutuskan panggilan.
            Gulp. Ayie terkedu. Tiba-tiba dia rasa dadanya sakit. Hatinya kian pedih. Kalau begini rasanya, sudah pasti dia tak akan melangkah ke dalam percintaan ini. Memang betul pun orang kata, percintaan ini bahaya. Seperti jurang yang dalam. Sekali kita sudah melangkah masuk. Pasti susah kita untuk mendaki keluar.
            

Friday, February 18, 2011

Kisah Ini Tentang Am

K.I.T.A
Peluh memercik di dahi. Banyak mata-mata sedang memerhatikannya. Dia tunduk rapat seolah-olah mahu dicium tangannya sendiri.
                “Am. Cepat, baca doa. Doa Bahasa Melayu pun tak pa.” Kata Pakcik Ki di sebelahnya. Dia mengangguk.
                Sudah berkali-kali dia menolak untuk membaca doa malam itu. Tapi Pakcik Ki yang beria. “Doa dari anak yang soleh adalah lebih baik, Am. Kita doakan untuk ayah kita sendiri. Lagi ikhlas. Doa tu dari hati kita.” Kata Pakcik Ki tadi sewaktu Izham memberikan seribu satu alasan.
                Izham mengelap dahinya. Dia menggeleng kepalanya berkali-kali, lalu menoleh memandang kepada Pakcik Ki.Sayu. “Am, tak boleh Pakcik Ki.”
                Pakcik Ki merenung pemuda dihadapannya. Memang nampak kegugupan ditambah dengan peluh yang memercik di dahinya. Am.. Am.. Nak baca doa untuk ayah sendiri pun berpeluh. Pakcik Ki menggeleng kepala. Bagaimana mahu menjadi ketua keluarga nanti?
                Izham tertunduk rapat ketika Pakcik Ki membacakan doa. Sewajarnya dia yang membaca doa. Betul kata Pakcik Ki, anak yang mendoakan ayah sendiri. Lebih ikhlas. Tapi dia tak layak untuk mendoakan ayah. Doanya pasti tidak diterima. Sampai sahaja di pintu langit pertama, doanya sudah ditendang oleh malaikat penjaga ke mukanya kembali.
                “Jom kita makan.” Pakcik Ki menepuk peha Izham, lalu dia mengangguk pantas.
                Malam itu hati Izham benar-benar tidak keruan. Malu.Berkali-kali dia terpandang beberapa mata yang sedang menggeleng-gelengkan kepala padanya. Geleng la hampa puas-puas. Hampa bukan tahu apa yang aku rasa. Pening perut memikirkan nak baca doa apa. Semua doa yang pernah belajar dulu dah lupa habis. Sewaktu  belajar di Maktab Mahmud dulu ada lah dua tiga doa yang diajar oleh abang Badan Dakwah. Tetapi setelah masuk dunia pekerjaan ini, habis doa –doa itu jadi simpanan sahaja. Mana taknya. Dia bekerja 24 jam sehari. Siang sebagai dispatch dan malam menjual burger. Mana sempat kaki ini melangkah ke majlis-majlis pengajian di masjid. Ah, semua itu alasan. Kalau hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih.
                Tetapi semenjak dia menjejakkan kakinya ke Kuala Lumpur ini, dia semakin jauh dengan pintu masjid. Malah tikar sejadah dia mulai lupa. Malahan ketika keluar dengan Mas, sehari suntuk pun, tak pernah pula dia mendengar Mas meminta darinya untuk berhenti untuk sembahyang. Malu pula dia untuk tiba-tiba sembahyang. Nanti Mas kata dia nak buat alim pula. Alim-alim kucing. Tapi nampak ikan disebelah, diterkamnya juga. Izham terduduk. Ya Allah banyak sungguh maksiat yang telah dia lakukan, sehinggakan dia jadi takut untuk menyebutkan satu persatu. Peluh memercik di dahinya. Seandainya tiba-tiba saat ini Malaikat Izrail menjemputnya, apakah amalan yang akan dibawanya. Sudah pasti neraca amalannya akan berat di sebelah kiri. Sudah pasti. Dia telah melakukan dosa besar. Dosanya seperti putera Khalifah Ar-Rasyidin kedua. Dia meraup mukanya pula.
                “Am.”
                Izham pantas mendongak kepalanya. Pakcik Ki di hadapannya.
                “Jom makan.” Pelawa lelaki dihadapannya itu. Izham hanya mengangguk.
                Pakcik Ki menghampirinya Lalu menepuk bahunya. “Sudahlah. Jangan fikir sangat. Nanti lepas ni boleh belajar balik baca doa tu. Pakcik Ki pun bukan pandai sangat.”
                Izham hanya mampu tersenyum tawar. Pakcik Ki tak tahu, hal ini bukan sekadar tak tahu baca doa. Malah ini lebih teruk. Jika Pakcik Ki tahu apa yang telah dia lakukan selama ini, adakah mampu lagi lelaki itu untuk duduk di sebelah dengannya. Dia telah melakukan maksiat. Maksiat yang besar. Dia berdosa. Orang sepertinya tidak layak untuk menghampiri syurga lagi. Dia adalah bakal menjadi bahan bakaran neraka.
                “Kat surau ni, setiap lepas maghrib kita ada buat pengajian maghrib. Am bolehlah mai lepas ni.” Sambung Pakcik Ki lagi. Izham hanya mampu mengangguk. Di kala ini dia hanya mampu angguk dan terus mengangguk mendengar apa yang dituturkan oleh lelaki itu.

Thursday, February 17, 2011

Akmal oh Akmal

                Akmal buat hal lagi. Kerana perkara ini membuatkan Ayie terpaksa membatalkan kelas pagi ini. Dia harus ke sekolah Akmal. Guru besar hendak berjumpa penjaga Akmal. Ayie mengeluh perlahan. Sejak dua menjak ini, perangai Akmal makin menjadi-jadi. 
                “Mal tak kira. Mal nak berhenti dari sekolah. Mal dah tak boleh belajar. Mal benci tinggal kat sini.” Bertubi-tubi perasaan tidak puas hatinya diluahkan. Dadanya kelihatan berombak-ombak menahan perasaan amarah.
                “Mal nak belajar kat mana? Cuba bagitahu kak long. Sekolah ni sekolah yang terbaik. Mana Mal nak dapat sekolah yang macam ni?” Ayie masih mengawal suaranya.
                “Mal nak sekolah biasa je. Tak ada baiknya sekolah ni. Biasa je.”
                “Mal. You dapat scholar baru boleh masuk sekolah ni tau. What happen to you? Bukan senang Yayasan Datuk Badri tu nak taja pelajar.” suara Ayie yang lembut tadi mula tinggi.
                “Tapi Mal tak suka sekolah ni. Mal nak balik rumah. Mal tak mahu duduk sini?”
                “Sebab apa Mal tak suka?”
                “Sebab Mal tak suka la. Kak long bukannya faham!” Suara Akmal tiba-tiba tinggi.
                Ayie menarik nafas. Keadaan tegang. Dia harus menggunakan pendekatan lembut. Api dengan api, akan bertambah marak.
                “Mal tahukan apa harapan abah dan mama pada Mal? Mal anak lelaki tunggal. Abah letak harapan yang tinggi pada Mal. Abah nak Mal jadi engineer Huffaz yang berjaya.” Ayie mengerling kea rah Akmal yang tertunduk rapat.
                “Akmal tak mahu penuhi impian mama dengan abah ke? Kami semua yakin pada kemampuan Akmal. Akmal dah hafal quran nak dekat habis dah. Tinggal lagi 8 juzuk je kan?” sambung Ayie lagi.
                Akmal mengangguk perlahan. Ayie perasan ada air mata yang bergenang di ruang mata adiknya itu.