Saturday, January 29, 2011

Entri main-main. percubaan

Kisah.Ini.Tentang.Aku
                Izham memetik suis kipas siling, tubuhnya dihempas di atas sofa menghadap siling. Matanya bergerak-gerak berpusing mengikut putaran kipas. Pening. Pantas dia mengalihkan pandangan ke arah televisyen yang sedang terpasang. Cerita apa yang sedang ditayangkan, dia tidak ambil pusing. Dalam fikirannya, penuh bercelaru. Serabut. Serabai. Apa lagi kalimah yang mampu menggambarkan keadaan tidak tentu arahnya sekarang.
Sekali lagi keluhan dilepaskan, baju –T dibuang daripada tubuhnya. Panas tubuhnya setelah menolak motor sejauh 5 kilometer. Motornya pancit di tengah jalan tadi. Mahu tidak mahu, dia terpaksa menolak ke bengkel Ah Seng. Memang malang betul.
Bau minyak wangi yang bercampur dengan peluh sudah menghasilkan satu bau yang paling terbaik. Suasana rumah sunyi sepi. Rasyid, Kashah, dan Anas sudah keluar. Dating la. Aktiviti biasa sewaktu hujung minggu. Dia pun baru sahaja pulang berjumpa dengan kekasih hatinya. Tapi masih layakkan digelar kekasih hati selepas apa yang berlaku. Satu lagi keluhan dilepaskan.
                “Mas kena kahwin akhir tahun ni.” Ayat pertama yang keluar dari mulut wanita tersebut setelah membisu sejak mereka berjumpa tadi.
“Sekarang pun boleh. Tapi Mas jangan letak tinggi la. Abang tak ada duit lagi. Kerja pun dispatch je ni.” Izham tertawa kecil.
                Mas merenung tajam, sambil menggeleng beberapa kali. Air matanya sudah mula merembes keluar turun mengalir di pipinya.
“Mas?” Izham merenung Mas. Tawanya tadi terhenti. “Sorry, abang bergurau je tadi.” Izham jadi kaget. Tangannya pantas menarik tisu di tepinya, dihulur kepada Mas. “Abang minta maaf. Abang bergurau je tadi.” Runtun hatinya melihat wanita yang dicintainya mengalirkan air mata.
Mas menggelengkan kepalanya sambil tangannya mengelap pipi dan matanya.
“Abang minta maaf.” Izham masih tidak putus-putus memohon maaf.
“Tak, abang tak salah. Mas yang salah. Mas..” Dia berhenti seketika. Matanya merenung wajah lelaki dihadapannya. Lelaki yang dicintainya sepenuh hati. “Mas minta maaf. Mas kena dengar cakap ayah. Ayah suruh mas kawin. Mas tak mau. Mas dah bagitahu, Mas ada abang tapi ayah paksa Mas juga. Mas tak tahu nak cakap apa kat ayah.” Tangisan Mas makin kuat.
                Izham terkedu. Gelas teh tarik yang baru hendak mencecah bibirnya sebentar tadi, diletakkan kembali. Suasana sekeliling seakan berputar-putar ketika mendengar bicara dari bibir wanita dihadapannya ini. Wanita yang dikasihinya. Yang telah mengajarnya erti cinta. Yang telah mengajar kepadanya erti kasih sayang. Yang telah mengajarnya erti kejujuran, erti kesetian. Tetapi saat ini, wanita ini yang telah mengkhianatinya. Ya, wanita dihadapannya ini bakal berkahwin. Tetapi bukan dengannya. Wanita ini bakal menjadi hak orang lain.
                Izham menarik nafas panjang. Tubuhnya disandar kekerusi. Tangannya menggosok kepala. Kusut.
                “Cuba Mas bincang elok-elok dengan ayah. Atau kalau Mas nak abang jumpa dengan ayah Mas pun boleh. Abang boleh pergi bincang dengan ayah Mas.”
                Mas menggeleng kepalanya. “Tak ada gunanya abang. Ayah Mas tak akan tukar lagi keputusannya. Ayah tak yakin dengan abang. Abang tak ada kerja tetap lagi. Ayah nak Mas kahwin dengan orang yang kerja kerajaan.”
                Izham meraut mukanya. Satu keluhan kecil dilepaskan. Ya, awal lagi dia sudah membuktikan kepada ayah Mas yang dia tidak mampu mengahwini anak perempuannya. Dia tidak mempunyai kerja yang tetap. Kerjanya sebagai dispatch tidak dapat menjanjikan kemewahan kepada Mas. Yang paling utama, dia tidak bekerja dengan kerajaan
                “Tapi Mas, abang baru je habis belajar. Tak boleh ke ayah Mas bagi abang masa. Abang akan cari kerja tetap. Dispatch ni pun hanya untuk sementara je.”
                “Abang dah setahun habis belajar. Tapi Mas tengok masih tak ada apa-apa kemajuan. Masih kerja yang sama.” Suara Mas kedengaran agak mendatar.
                “Ayah Mas yang tak boleh tunggu ke.. Atau Mas sendiri yang tak boleh tunggu? Terus terang Mas. Mas sendiri kan yang dah bosan dengan abang. Mas dah tak boleh tunggu abang lagi kan? Betulkan Mas?” Ujar Izham sedikit agak mengeluh.
                “Abang tak boleh tuduh Mas macam tu.” Suara Mas tinggi. “Setahun Mas bagi peluang pada abang. Setahun lepas, Mas merayu pada ayah supaya bagi abang peluang. Tapi abang langsung tak hargai peluang yang kami bagi. Abang masih macam ni. Siang kerja dispatch, malam jual burger. Sampai bila abang nak kerja macam ni? Dan sampai bila Mas kena tunggu abang cukup duit untuk hantar rombongan pada Mas?”  Dia mendengus marah lantas menjeling tajam ke arah Izham. Memang lelaki ini tiada masa hadapan.
                Izham menarik nafas panjang. Dia dah tak perlu untuk cakap apa-apa. Keputusan sudah dibuat. Cakap pun tak guna. Hatinya sudah remuk. Bukan cara dia untuk merayu. Dadanya sakit seperti ditusuk belati. Dia menggosok kepalanya berulang kali. Tindakan biasa yang menunjukkan keserabutan yang melanda.
                “Apa yang Mas nak abang buat sekarang?.” Soalnya memandang tepat ke mata wanita dihadapannya. Intonasinya kini perlahan. Dia sudah tidak nampak sinaran cahaya dari mata wanita tersebut. Sinaran cahaya tersebut sudah pudar.
                “Tak ada apa lagi yang perlu dibuat. Semuanya dah berakhir. Antara kita dah tamat.”
                Izham mengeluh perlahan. Segalanya sudah berakhir. Antara dia dan Mas dah berakhir.
                Bunyi deringan dan getaran telefon bimbit mengejutkan Izham. Dia pantas menyeluk poket jeansnya. Geli dengan getaran selagi panggilan tersebut tidak diangkat.
                Mama. Matanya mengerling sekilas ke arah skrin. Dengan rasa malas dia paksa dirinya menjawab juga panggilan tersebut.
                “Along. Abah sakit.” Suara mama bercampur tangisan menerjah gegendang telinganya. Dia melompat bangun dari pembaringan. “Along balik ye.” Tangisan mama kuat kedengaran.
                Dia mengangguk. “Ye. Along balik hari ini jugak.”
               

               
         

No comments:

Post a Comment