Pages

Friday, February 18, 2011

Kisah Ini Tentang Am

K.I.T.A
Peluh memercik di dahi. Banyak mata-mata sedang memerhatikannya. Dia tunduk rapat seolah-olah mahu dicium tangannya sendiri.
                “Am. Cepat, baca doa. Doa Bahasa Melayu pun tak pa.” Kata Pakcik Ki di sebelahnya. Dia mengangguk.
                Sudah berkali-kali dia menolak untuk membaca doa malam itu. Tapi Pakcik Ki yang beria. “Doa dari anak yang soleh adalah lebih baik, Am. Kita doakan untuk ayah kita sendiri. Lagi ikhlas. Doa tu dari hati kita.” Kata Pakcik Ki tadi sewaktu Izham memberikan seribu satu alasan.
                Izham mengelap dahinya. Dia menggeleng kepalanya berkali-kali, lalu menoleh memandang kepada Pakcik Ki.Sayu. “Am, tak boleh Pakcik Ki.”
                Pakcik Ki merenung pemuda dihadapannya. Memang nampak kegugupan ditambah dengan peluh yang memercik di dahinya. Am.. Am.. Nak baca doa untuk ayah sendiri pun berpeluh. Pakcik Ki menggeleng kepala. Bagaimana mahu menjadi ketua keluarga nanti?
                Izham tertunduk rapat ketika Pakcik Ki membacakan doa. Sewajarnya dia yang membaca doa. Betul kata Pakcik Ki, anak yang mendoakan ayah sendiri. Lebih ikhlas. Tapi dia tak layak untuk mendoakan ayah. Doanya pasti tidak diterima. Sampai sahaja di pintu langit pertama, doanya sudah ditendang oleh malaikat penjaga ke mukanya kembali.
                “Jom kita makan.” Pakcik Ki menepuk peha Izham, lalu dia mengangguk pantas.
                Malam itu hati Izham benar-benar tidak keruan. Malu.Berkali-kali dia terpandang beberapa mata yang sedang menggeleng-gelengkan kepala padanya. Geleng la hampa puas-puas. Hampa bukan tahu apa yang aku rasa. Pening perut memikirkan nak baca doa apa. Semua doa yang pernah belajar dulu dah lupa habis. Sewaktu  belajar di Maktab Mahmud dulu ada lah dua tiga doa yang diajar oleh abang Badan Dakwah. Tetapi setelah masuk dunia pekerjaan ini, habis doa –doa itu jadi simpanan sahaja. Mana taknya. Dia bekerja 24 jam sehari. Siang sebagai dispatch dan malam menjual burger. Mana sempat kaki ini melangkah ke majlis-majlis pengajian di masjid. Ah, semua itu alasan. Kalau hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih.
                Tetapi semenjak dia menjejakkan kakinya ke Kuala Lumpur ini, dia semakin jauh dengan pintu masjid. Malah tikar sejadah dia mulai lupa. Malahan ketika keluar dengan Mas, sehari suntuk pun, tak pernah pula dia mendengar Mas meminta darinya untuk berhenti untuk sembahyang. Malu pula dia untuk tiba-tiba sembahyang. Nanti Mas kata dia nak buat alim pula. Alim-alim kucing. Tapi nampak ikan disebelah, diterkamnya juga. Izham terduduk. Ya Allah banyak sungguh maksiat yang telah dia lakukan, sehinggakan dia jadi takut untuk menyebutkan satu persatu. Peluh memercik di dahinya. Seandainya tiba-tiba saat ini Malaikat Izrail menjemputnya, apakah amalan yang akan dibawanya. Sudah pasti neraca amalannya akan berat di sebelah kiri. Sudah pasti. Dia telah melakukan dosa besar. Dosanya seperti putera Khalifah Ar-Rasyidin kedua. Dia meraup mukanya pula.
                “Am.”
                Izham pantas mendongak kepalanya. Pakcik Ki di hadapannya.
                “Jom makan.” Pelawa lelaki dihadapannya itu. Izham hanya mengangguk.
                Pakcik Ki menghampirinya Lalu menepuk bahunya. “Sudahlah. Jangan fikir sangat. Nanti lepas ni boleh belajar balik baca doa tu. Pakcik Ki pun bukan pandai sangat.”
                Izham hanya mampu tersenyum tawar. Pakcik Ki tak tahu, hal ini bukan sekadar tak tahu baca doa. Malah ini lebih teruk. Jika Pakcik Ki tahu apa yang telah dia lakukan selama ini, adakah mampu lagi lelaki itu untuk duduk di sebelah dengannya. Dia telah melakukan maksiat. Maksiat yang besar. Dia berdosa. Orang sepertinya tidak layak untuk menghampiri syurga lagi. Dia adalah bakal menjadi bahan bakaran neraka.
                “Kat surau ni, setiap lepas maghrib kita ada buat pengajian maghrib. Am bolehlah mai lepas ni.” Sambung Pakcik Ki lagi. Izham hanya mampu mengangguk. Di kala ini dia hanya mampu angguk dan terus mengangguk mendengar apa yang dituturkan oleh lelaki itu.

No comments:

Post a Comment